Skuad Badak perlu kekalkan momentum kemenangan – Kim Swee

Skuad Badak perlu kekalkan momentum kemenangan – Kim Swee

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah FC perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi menewaskan Melaka United FC (MUFC) dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, perlawanan malam esok pastinya berbeza berbanding sebelum ini selepas Sabah FC mencapai dua kemenangan berturut-turut.

Katanya, beliau percaya Melaka United adalah salah satu pasukan yang cukup baik berdasarkan prestasi ketika saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan.

“Melaka United pernah menewaskan pasukan Kedah, jadi saya jangkakan ini adalah satu lagi cabaran yang harus ditempuhi.

“Namun, saya berharap semua pemain menunjukkan sikap positif seperti ketika pasukan bertemu PJ City FC dan juga Kelantan FC minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Kim Swee yakin pasukan Sabah FC mempunyai harapan untuk mendapatkan keputusan yang positif menjelang perlawanan malam esok.

Katanya, sudah tentu kelebihan bermain di tempat sendiri pada pusingan pertama akan dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus mencatatkan keputusan positif.

“Kita perlu mengelak daripada melakukan kesilapan sama dalam pertemuan sebelum Ini. Pertemuan kalah mati serta bermain di tempat sendiri sudah tentu kita memerlukan kemenangan dengan jaringan gol.

“Dalam masa sama Sabah FC tidak boleh terburu-buru apabila bermain di peringkat timbal balik kerana jaringan gol di tempat lawan harus diambil kira.

“Pada perlawanan malam esok kita akan fokus bagi memastikan gawang gol tidak dibolosi sekaligus mencapai keputusan baik di Stadium Likas,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|