Covid-19 Sabah: Lebih separuh kes babitkan individu lengkap vaksin

Covid-19 Sabah: Lebih separuh kes babitkan individu lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Lebih separuh daripada kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini dikenal pasti membabitkan individu yang sudah lengkap vaksin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daripada 497 kes yang direkodkan hari ini, sebanyak 66.8 peratus adalah mereka yang sudah melengkapkan pengambilan vaksin.

Katanya, angka yang tinggi itu agak membimbangkan kerana ia mencerminkan sikap alpa dan tidak peduli sebahagian besar individu yang sudah lengkap divaksin daripada mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka mungkin berandaian sudah kebal daripada jangkitan virus setelah melengkapkan pengambilan vaksin.

“Seperti yang sering kali diingatkan, pengambilan vaksin tidak memberi kita perlindungan 100 peratus daripada jangkitan.

“Ia sekadar melindungi badan kita daripada mengalami kesan jangkitan yang serius yang memerlukan rawatan di hospital dan penjagaan rapi.

“Hakikatnya kita tidak kebal daripada jangkitan. Vaksin sekadar melindungi pesakit daripada kesan serius jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi berkata, ia terbukti apabila 98 peratus kes hari ini hanyalah pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang tidak memerlukan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, katanya tidak kira dalam kategori apa sekalipun, seseorang pesakit tetap pembawa virus dan boleh menjangkiti ahli keluaraga lain di rumah.

“Seperti yang dinyatakan di atas hampir 98 peratus kes jangkitan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Hanya lapan kes yang dianggap serius dan memerlukan rawatan di hospital termasuk rawatan rapi, iaitu empat orang dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori 4 dan seorang saja dalam Kategori 5,” katanya.

Mengenai kes baharu hari ini, Masidi berkata kebanyakan daerah mencatat penurunan kecuali beberapa daerah seperti Penampang, Papar dan Tenom yang merekodkan pertambahan agak tinggi.

Katanya, daerah Penampang mencatat 42 kes baharu berbanding 28 kes semalam, manakala 33 kes di Papar berbanding 20 kes semalam dan 29 kes di Tenom berbanding 17 kes semalam.

Beliau berkata, hanya Kota Kinabalu dan Tuaran mencatatkan kes jangkitan melebihi angka 50, iaitu masing-masing 80 dan 61 kes.

Secara keseluruhan, katanya jumlah kes baharu di Sabah hari ini menurun 114 kes kepada 497 kes berbanding 611 kes semalam.

“Kes jangkitan secara sporadik kekal tinggi, iaitu 36.2 peratus daripada jumlah keseluruhan. Kes yang berlaku secara sporadik dikesan apabila pesakit mengalami gejala jangkitan virus Covid-19 dan seterusnya menjalani saringan kesihatan.

“Kes saringan bergejala ini sukar menentukan ‘kes indeks’ mahupun tempat di mana jangkitan berlaku. Apa yang pasti ialah jangkitan berlaku kerana kelalaian mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal atau penggunaan pelitup muka,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 13 November 2021
Sabah 497 (611)
Malaysia 5,809 ( 6,517)

Kota Kinabalu 80 (95)
Tuaran 61 (53)
Penampang 42 (28)
Kota Marudu 35 (40)
Papar 33 (20)
Ranau 30 (49)
Tenom 29 (17)
Kota Belud 23 (68)
Keningau 22 (16)
Beaufort 19 (52)
Kudat 16 (32)
Kinabatangan 15 (15)
Tambunan 13 (25)
Sandakan 13 (8)
Sipitang 12 ( 12)
Putatan 11 (19)
Kuala Penyu 8 (8)
Lahad Datu 8 (12)
Tawau 7 (7)
Telupid 6 (6)
Pitas 5 (5)
Beluran 3 (17)
Kunak 3 (2)
Kalabakan 2 (0)
Semporna 1 (1)
Nabawan 0 (1)
Tongod 0 (0)

*Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 12 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|