MAFI dan KPDNHEP tangani isu kenaikan harga baja, racun

MAFI dan KPDNHEP tangani isu kenaikan harga baja, racun

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menangani Isu kenaikan harga baja dan racun yang membebankan petani dan peladang seluruh negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua kementerian mengambil langkah itu sebagai usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian serta langkah lain dalam membantu petani dan pengusaha kecil yang berhadapan dengan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak.

Mesyuarat jawatankuasa bersama itu yang diadakan pada 10 November turut dihadiri wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Turut hadir ialah wakil industri termasuk the Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA).

Kenyataaan itu nenyebut MAFI dan KPDNHEP memandang serius isu kenaikan harga baja dan racun yang berlaku sejak penularan pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

“Baja dan racun makhluk perosak adalah input pertanian dan kompenan penting dalam pengeluaran hasil tanaman yang berkualiti dan selamat dimakan oleh penduduk Malaysia.

“Kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah yang diimport dari negara luar seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium).

“Berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan dan pemain industri, antara punca yang dikenal pasti berhubung isu ini adalah perubahan polisi negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik dan spekulasi pasaran,” katanya.

Jelas kenyataan itu, apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, peningkatan harga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk berkenaan.

Berikutan itu, katanya beberapa cadangan penyelesaian dikenal pasti dan diangkat oleh MAFI dan KPDNHEP secara bersama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 November 2021 supaya isu itu dapat ditangani secara menyeluruh dan holistik bagi membantu golongan yang terjejas.

“MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Seri Alexander Nanta Linggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|