PRN Melaka: ‘Keluarga Malaysia’ tingkatkan sokongan terhadap BN

PRN Melaka: ‘Keluarga Malaysia’ tingkatkan sokongan terhadap BN

Melaka: Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat berikutan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pendekatan itu bersifat lebih inklusif dalam memperjuangkan masa depan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan sempadan.

“Hakikatnya ketika BN menjadi kerajaan, konsep ini telah dilaksanakan dengan jaya dan membawa kepada kestabilan politik, ekonomi serta kemajuan negara,” katanya selepas melakukan tinjauan bagi membantu calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata perubahan sokongan rakyat khususnya di kawasan berkenaan semakin meningkat berbanding sebelum ini yang mana ramai terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang menimbulkan pelbagai isu memburukkan kerajaan BN.

“Rakyat sudah tentu dapat menilai Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara sebelum ini. Bukan saja keadaan politik negara tidak stabil, malah ekonomi negara tidak terurus sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

“Kita dapat rasa keadaan negara jauh lebih baik apa yang dilakukan ketika BN memerintah negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut tahap sokongan rakyat kepada calon BN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, maklum balas rakyat ketika beliau bersama rombongan UMNO Sabah ke kawasan berkenaan amat positif.

Katanya Mohd Noor Helmy bukanlah asing bagi masyarakat di kawasan itu, malah beliau dikenali sebagai pemimpin mesra rakyat dan sudah lama berkhidmat kepada penduduk setempat atas kapasiti sebagai Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kawasan Duyong.

“Banyak isu ditangani beliau sebagai ahli majlis sebelum ini antaranya masalah banjir, pengaliran longkang, kerosakan jalan raya dan isu setempat yang diselesaikan. Ini adalah eleman penting bagi bakal seorang wakil rakyat,” katanya.

Tambah Bung Moktar, sebagai Ketua Pemuda UMNO di kawasan itu sudah tentu Mohd Noor Helmy mempunyai pengalaman untuk memikul tugas dan tanggungjawab jika diberikan peluang sebagai ADUN dalam PRN Melaka kali ini.

“Kita yakin dengan hasil kerja keras semua komponen parti BN khasnya UMNO yang semakin agresif menjelang tempoh kempen selama dua minggu ini kita akan dapat menarik semula sokongan pengundi kepada BN dalam PRN Melaka kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|