Tawau: Ratusan penonton dan pekerja panggung wayang di pusat beli belah di Jalan Kuhara, di sini, terpaksa diarahkan mengosongkan bangunan apabila sebuah bilik ‘server’ di tingkat tiga terbakar, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, tindakan pantas Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memastikan tiada mangsa terbabit dalam insiden berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 16 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tindakan awal pasukan bomba adalah membuat pengosongam bangunan membabitkan seramai 158 orang awam dan pekerja ya y berada di panggung wayang berkenaan.
“Manakala operasi pemadaman dilakukan di tingkat tiga yang berkeluasan 18.5 meter persegi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dan satu pancutan sistem pancuran kering.
Katanya, tiada sebarang kecederaan serta kematian dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 11.45 malam.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 12.15 tengah malam.” katanya.
-Deasoka