PPM tahan 7 lelaki leka punggah arak

PPM tahan 7 lelaki leka punggah arak

Beaufort: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan aktiviti penyeludupan minuman keras selepas menahan tujuh lelaki yang sedang leka memunggah minuman berkenaan di kawasan tepi anak sungai di Menumbuk, di sini, semalam.

Semua suspek berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun itu ditahan anggota PPM Kota Kinabalu dalam satu operasi kira-kira jam 9 malam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, serbuan itu dilakukan selepas intipan terhadap beberapa individu di kawasan berkenaan.

Lokasi pemunggahan penyeludup yang diserbu PPM Kota Kinabalu.

Katanya, ketika intipan didapati beberapa individu sedang melakukan aktiviti pemunggahan bungkusan plastik hitam dari bot ke kawasan darat.

“Hasil pemeriksaan menemui minuman keras pelbagai jenama sebanyak 150 karton dianggarkan bernilai RM15,000.

“Semua minuman keras itu dipercayai dibawa dari Labuan dan ketujuh-tujuh lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas sebuah bot menggunakan enjin 200 kuasa kuda (hp) dan tiga kenderaan dan nilai keseluruhan rampasan hampir RM338,000.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

“Masyarakat disaran menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|