Buruh ditemui lemas

Buruh ditemui lemas

Kota Belud: Seorang pekerja buruh ditemui lemas selepas gagal menyeberangi Sungai Kuala Abai, di sini, ketika hendak mematikan mesin kimpalan yang berada di seberang sungai, semalam.

Mayat lelaki tempatan berusia 22 tahun berasal dari Ranau, ditemui penduduk kampung kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa lemas, jam 2.03 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, lokasi kejadian adalah tapak jambatan sementara Projek Pan Borneo yang masih dalam pembinaan dan jambatan itu tidak terus bersambung ke seberang sungai bagi memberi laluan kepada bot orang kampung yang melalui sungai berkenaan.

Katanya, berdasarkan percakapan dengan saksi tempat kejadian mendakwa bersama mangsa sebelum kejadian, jam 12.25 tengah hari.

“Saksi mendakwa tujuan mangsa terjun ke sungai berkenaan kerana hendak memadamkan mesin kimpalan yang berada di seberang sungai.

“Saksi ada melarang mangsa untuk menyeberangi sungai kerana bahaya. Namun dia meneruskan untuk terjun dan mengambil keputusan melalui sungai itu kerana laluan singkat,” katanya dalam kenyataan media.

Sahimi berkata, ketika menyeberangi sungai, saksi memaklumkan telah melihat mangsa hanyut dibawa arus.

“Ketika hanyut, mangsa meminta pertolongan tetapi saksi tidak berani kerana kedudukan mangsa jauh. Mangsa terus tenggelam dan dipercayai lemas.

“Pada 2.03 petang, hari yang sama, mangsa ditemui oleh penduduk kampung dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, siasatan awal tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|