Pulanglah, atau berdepan tindakan: Masidi

Pulanglah, atau berdepan tindakan: Masidi

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri hari ini menggesa penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya yang dikenalpasti melarikan diri bagi mengelak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya pulang segera, atau berdepan tindakan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat ini, pihaknya mengenalpasti seramai 69 individu yang berbuat demikian dan meminta kesemua mereka terlibat supaya kembali semula.

Ini adalah sebagai langkah untuk memastikan tidak berlakunya penularan jangkitan di kawasan atau komuniti lain.

“Balai Polis Pulau Gaya pada ketika ini juga sedang mempergiat usaha mengesan semua 69 suspek yang dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke PKRC.

“Kegagalan mereka kembali ke Kg Pondo dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan akan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021, “katanya.

Jelas Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan kesemua individu terlibat supaya tampil segera membantu proses pencarian.

Terdahulu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 225 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 70,945 kes.

“Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau.

“Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|