PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak

PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak

PPM menahan juragan dan awak kerana membawa barang kawalan tanpa permit di laut Pulau Nunuyan, Sandakan.

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan empat lelaki dan merampas lebih 200 kotak minyak masak tanpa permit bernilai hampir RM10,000 di kawasan laut Pulau Nunuyan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, dua bot jongkong dinaiki empat lelaki berusia 20 hingga 28 tahun bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, ekoran itu anggota PPM Sandakan bertindak menahan dua bot jongkong untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas dua bot jongkong masing-masing dijuragani seorang lelaki dan seorang awak-awak.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua jongkong itu terdapat barang kawalan minyak masak pelbagai jenama lebih 200 kotak.

“Juragan terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya,” katanya di sini, hari ini.

PPM menahan juragan dan awak kerana membawa barang kawalan tanpa permit di laut Pulau Nunuyan, Sandakan.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menyeru terutama masyarakat maritim dan pesisir pantai supaya menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 013-831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berhampiran.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|