PPM Lahad Datu rampas rokok seludup bernilai RM32,968

PPM Lahad Datu rampas rokok seludup bernilai RM32,968

Lahad Datu: Pelbagai rokok seludup berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan bangunan Ko-Nelayan, di daerah ini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, kejayaan itu hasil pemerhatian pasukan operasi di kawasan penyimpanan barang di pusat berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan rokok tidak bercukai yang ditinggalkan.

“Pasukan operasi PPM menemui rokok tidak bercukai yang disimpan di kawasan bangunan Ko-Nelayan daerah ini.

“Semua rokok pelbagai jenis berkenaan dianggarkan bernilai RM32,968 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, semua rokok berkenaan dan sebuah perahu kemudiannya dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|