Beaufort: Hasrat mahu menghidupkan semula senario Penjelajahan Tentera Imperial Jepun di hutan kawasan pedalaman bawah antara misi yang diketengahkan dalam usaha memperkenalkan aktiviti ekopelancongan berbentuk ‘Jungle Trekking’ di Kampung Montenior Batu 61, di sini.
Dikenali sebagai Akashi Rimba diusahakan oleh pemiliknya, Edwin Louis, 61, yang memiliki hutan berbukit seluas 12 ekar (kira-kira 4.8 hektar) di kawasan berkenaaan.
Menurut Edwin yang juga Pengurus projek Akashi Rimba, ia dibuka kepada trekkers sejak September lalu untuk aktiviti kembara hutan (jungle trekking) kepada penggemar sukan lasak dan ekstrem terutama di kawasan hutan.
“Misi kita adalah untuk menghidupkan semula Sejarah Penjelajahan Tentera Imperial Jepun di hutan itu yg berlaku pada 1942 hingga 1945 kerana terdapat banyak kesan persembunyian mereka yang masih kelihatan contohnya batu yang diukir dan tanda-tanda simbolik dipercayai dibuat oleh tentera Jepun.
“Dalam masa yang sama kita ingin melatih seramai mungkin ‘trekkers ‘ muda di Sabah terutama di Pedalaman Bawah dan Beaufort khususnya.
“Visi kita juga ialah menjadikan Bukit Akashi Rimba sebagai satu lokasi kajian sejarah dan kajian hutan untuk generasi akan datang agar mereka faham dan peka kewujudan persembunyian tentera Jepun di kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Edwin berkata, setakat ini, seramai 271 trekkers terdiri daripada 21 pasukan yang berasal dari Beaufort, Sipitang, Papar dan Kota Kinabalu telah menjelajah Akashi Rimba.
“Kebanyakannya terdiri daripada trekkers muda serta dewasa untuk merasai sendiri pengalaman menjelajah hutan di hutan ini.
“Rata-rata trekkers memaklumkan Bukit Akashi Rimba sebagai kawasan bukit yang sangat mencabar dan ekstrem kerana 95 peratus trek adalah menggunakan tali dengan kecuraman 80 darjah serta ketinggian purata 45 meter.
“Terdapat beberapa anak bukit dan trekkers perlu melepasi tujuh halangan dalam pendakian bertali Akashi Rimba sebelum tiba ke puncak sejauh 2.3 kilometer atau tiga jam setengah pendakian,” katanya.
Sehubungan itu, disebabkan laluan amat mencabar maka setiap peserta akan dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Pencapaian yang boleh dibanggakan kerana kehebatan mereka melepasi pelbagai halangan di sepanjang pendakian bertali itu.
“Bagi trekkers yang berhasrat ingin mencuba penjelajahan hutan, boleh membuat tempahan melalui Akashi Rimba Management di aplikasi WhatsApp 0139061326 dengan bayaran keseluruhan RM20 untuk seorang namun memerlukan bilangan minima 10 trekkers dalam satu pasukan bagi aktiviti Jungle Trekking.
“Bayaran termasuk Permit Masuk RM15 dan RM5 untuk bayaran perkhidmatan ‘Coach’,” katanya.
Terdahulu, diminta mengulas bagaimana nama Akashi Rimba diambil, Edwin menjelaskan ‘Lieutenant Commander Akashi’ adalah seorang Pegawai Pemerintah Tertinggi Tentera Imperial Jepun di Pedalaman Bawah yang menandatangani Surat Penyerahan Kalah kepada Pemerintah Tertinggi Tentera Australia pada September 1945 di Pejabat Daerah Beaufort.
“Justeru nama ini diambil sempena namanya,” katanya.
-Deasoka