Latika Andaian Sabah 2021 pamer kesiap siagaan PDRM

Latika Andaian Sabah 2021 pamer kesiap siagaan PDRM

Kinabatangan: Latihamal ‘Latika Andaian Sabah 2021’ diadakan bagi memantapkan lagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah di negeri ini sebagai persediaaan berdepan sebarang kemungkinan di masa hadapan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, ia bukan saja membabitkan krisis keganasan tetapi juga pemantapan pengurusan bencana alam.

Hazani menyaksikan adegan penyelamatan Pasukan Khas PDRM dan Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) di kawasan ladang sawit Melangking, Sukau, Kinabatangan.

Katanya, sepanjang latihan selama dua hari itu, setiap Ketua Polis Daerah di negeri ini diberikan ilmu dan pengetahuan sepenuhnya yang difikirkan bersesuaian.

“Dalam Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN20), setiap ketua polis daerah adalah ketua operasi di lapangan setiap kali berlaku bencana.

Hazani melepaskan tembakan RPG ketika Latihamal di ladang Melangking, Sukau, Kinabatangan.

“Merekalah yang berkuasa untuk mengembling pengoperasian pelbagai agensi untuk berdepan krisis keganasan ataupun bencana,” katanya ketika ditemui selepas selesai Latihamal di kawasan ladang Melangking, Sukau, di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Hazani menyampaikan sijil penyertaan kepada Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim yang menyertai seminar Tabletop Exercise (TTX) & Latihamal ‘Latika Andaian Sabah 2021’.

Terdahulu, Hazani menyaksikan adegan menyelamat dua tebusan oleh pasukan VAT69 Komando dan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) di kawasan ladang sawit Melangking.

Beliau turun melepaskan tembakan RPG dari pentas pemerhati ke kawasan lokasi agedan pertempuran pada jarak 400 meter.

Hazani berkata, setakat ini, PDRM bersama agensi lain sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang krisis atau bencana.

Katanya, tahap keselamatan di Sabah juga berada dalam keadaan terbaik dan ia dimantapkan lagi dengan latihan kali ini.

“Setakat ini, dari segi keanggotaan, PDRM dan agensi keselamatan lain mencukupi dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

“Kita akan terus mempertahanankan keamanan dan kedaulatan negara kita,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, latihamal ini tidak hanya khusus untuk negeri Sabah semata-mata malah ia akan dilakukan di seluruh negara.

Katanya, selepas ini, pihaknya merancang untuk menganjurkan latihan ini di Sarawak dan semenanjung Malaysia yang dipecahkan kepada tiga zon.

“Ini bertujuan memperkukuhkan ilmu-ilmu dan menambahkan lagi pengetahuan dalam urusan krisis keganasan dan pengurusan bencana alam pada semua ketua polis daerah di Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|