PPM patahkan cubaan PATI menyelinap masuk ke Tawau

PPM patahkan cubaan PATI menyelinap masuk ke Tawau

Tawau: Cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk ke negara ini berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, sebaik berjaya dikesan, pasukan operasi terus mengejar dan memintas bot berkenaan.

Bot yang dinaiki tujuh warga asing berjaya dihalang dan diusir keluar dari perairan Tawau.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki tujuh warga Indonesia berusia lingkungan 31 hingga 40 tahun.

“Juragan bot berkenaan adalah seorang warganegara tempatan dan didapati membawa lima lelaki bersama dua wanita warga asing.

“Juragan bot dan semua penumpang terus diberikan penerangan berkaitan pematuhan SOP Covid-19 yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, bot berkenaan kemudiannya diiringi sehingga keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali ke negara ini.

“Ini adalah kes kedua selepas satu lagi kejayaan menggagalkan usaha menceroboh masuk ke daerah ini.

“Dalam kes berasingan 26 Disember lalu, bot ronda PPM Tawau turut berjaya menghalang dan mengusir sebuah bot yang membawa empat warga Indonesia masuk ke daerah Tawau.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Tawau akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Tawau.

Katanya, ia adalah salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19 dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

“PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan maklumat bagi mengekang jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan tindakan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|