Sipitang: Hujan lebat sejak lewat malam tadi mengakibatkan sebuah rumah yang dihuni 11 orang sekeluarga di Kampung Pantai, Jalan Sindumin, di sini, dinaiki air.
Bimbang dengan keselamatan keluarga termasuk seorang bayi, mangsa terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan pemindahan segera.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2021/12/WhatsApp-Image-2021-12-29-at-10.27.56-1024x768.jpeg)
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang, Penolong Penguasa Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 pagi tadi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan bot serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2021/12/WhatsApp-Image-2021-12-29-at-10.27.55-1-1024x768.jpeg)
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, semua mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan setahun hingga 60 tahun terperangkap di kawasan banjir setinggi melebihi satu meter.
“Semua mangsa kemudiannya dipindahkan ke rumah keluarga di kawasan selamat yang tidak terjejas akibat banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Janil berkata, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 pagi.
-Deasoka