Keputusan Peter tubuh parti baharu hanya pecah belahkan rakyat pedalaman – Shafie

Keputusan Peter tubuh parti baharu hanya pecah belahkan rakyat pedalaman – Shafie

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony menubuhkan parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

Beliau berkata, kenyataan Peter dalam sidang medianya semalam juga bercanggah dengan apa yang dikatakan bekas Naib Presiden WARISAN itu mengenai sesebuah negeri yang patut ditadbir oleh parti politik setempat mengikut negeri masing-masing

“Bagaimanapun, ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, PAS, MCA, Gerakan dan MIC serta parti Kadazandusun-Murut, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta parti tempatan Parti Maju Sabah (SAPP).

“GRS diketuai oleh seorang ahli parti nasional (BERSATU) maka keputusan kerajaan GRS ditentukan oleh ketua partinya di peringkat nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas pengumuman keluar parti yang dibuat Peter semalam.

Mohd Shafie dalam pada itu menafikan alasan keluar parti yang digunakan bekas Naib Presidennya itu bahawa WARISAN sudah tersasar daripada perjuangan asalnya.

“Alasan untuk keluar parti kerana WARISAN tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tidak benar kerana pada mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti WARISAN (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan tersebut.

“Keputusan untuk melebarkan WARISAN ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia.

“Jelas pada pilihan raya Melaka dan Sarawak jumlah rakyat yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, satu kadar yang rendah. Ini menunjukkan ramai pengundi mahukan pilihan parti yang lebih baik yang mampu membawa perubahan untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Semporna itu berkata tindakan Peter keluar daripada parti bukan perkara yang mengejutkan.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya.

Mohd Shafie menegaskan bahawa WARISAN kekal kukuh dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perjuangan parti untuk membela nasib seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

“Sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama, WARISAN tidak mengambil pendirian parokial yang hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja. Ini adalah hala tuju WARISAN.

“Kami di sini untuk membina sebuah negara, bukan bangsa atau agama tertentu. Marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Jelasnya lagi, sejak ditubuhkan, WARISAN lantang bersuara memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status kedua-dua negeri sebagai rakan sekutu Semenanjung.

“Malah, WARISAN akan terus berjuang untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak yang belum lagi dikembalikan seperti pengagihan kekayaan yang saksama, kadar royalti minyak yang lebih baik dan hak wilayah Sabah ke atas pelantar benua,” katanya.

Semalam, Peter mengumumkan keluar WARISAN bersama Juil dan memaklumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu pada awal Januari ini yang memberi fokus kepada masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) terutama di kawasan pedalaman Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|