Dera pembantu rumah, suami isteri dituduh di mahkamah hari ini

Dera pembantu rumah, suami isteri dituduh di mahkamah hari ini

Penampang: Pasangan suami isteri yang ditahan selepas dipercayai mendera pembantu rumah mereka, dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Pasangan berusia 40 dan 33 tahun terbabit dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian pembantu rumah berusia 28 tahun di rumah mereka di sebuah kondominium di Jalan Lintas Lido, di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kertas siasatan selesai sepenuhnya hasil daripada tahanan reman yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek.

Katanya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya kemudian diarahkan pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kejadian dilaporkan pada 13 Disember lalu apabila pasangan terbabit mendakwa menemui pembantu rumah mereka meninggal dunia selepas pulang dari bercuti di Kundasang.

“Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di seluruh bahagian badan termasuk kesan melecur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|