Suami isteri didakwa membunuh pembantu rumah

Suami isteri didakwa membunuh pembantu rumah

Kota Kinabalu: Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh pembantu rumah mereka di sebuah kondominium, di sini, antara 10 Disember hingga 13 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohammad Ambree Yunos, 40, dan isterinya, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulang, 33, berdepan pertuduhan tentatif mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun itu bagaimanapun tidak mengambil sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari depan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, di rumah pasangan berkenaan di sebuah kondominium di Jalan Lintas Lido, di sini, antara 10 hingga 13 Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Ambree adalah seorang kontraktor, manakala isterinya, Etiqah yang juga bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012 adalah seorang jurutera.

Mohammad Ambree diwakili peguam Ram Singh dan Kimberly Yee manakala Etiqah pula diwakili peguam Datuk Seri Rakbir Singh.

Pendakwaan kes pula dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Irwan Suainbon dan Timbalan Pendakwaraya, Ali Imran.

Sementara itu, pasangan berkenaan turut diperintah menjalani tahanan reman lanjut sehingga kes mereka selesai.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pasangan berkenaan ditahan pada 14 Disember lalu, iaitu sehari selepas mereka membuat laporan polis mendakwa menemui pembantu rumah mereka di atas lantai di kondominium mereka selepas balik daripada bercuti di Kundasang, Ranau.

Mereka kemudian dibebaskan atas jaminan polis pada 21 Disember lalu.

Kehadiran mereka di mahkamah hari ini ditemani ahli keluarga dan tiga anak yang masih kecil.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|