PPM Kudat rampas rokok tanpa cukai

PPM Kudat rampas rokok tanpa cukai

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 1,350 bungkus rokok tanpa cukai yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan di tepi jalan di Jalan Perapat Limau – Limauan, di sini, semalam.

Rampasan berkenaan dilakukan PPM Kudat ketika menjalankan Op Benteng Covid-19, kira-kira jam 9 malam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, ketika menjalankan operasi itu telah mengenal pasti sebuah kenderaan yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan, Jalan Perapat Limau – Lumauan.

Katanya, pemerhatian dan pemantauan dilakukan namun tiada individu yang datang menuntut kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui sejumlah 1,350 bungkus rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai.

“Nilai rokok dan kenderaan dianggarkan bernilai RM40,250,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

“Masyarakat disarankan menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|