PPV pandu lalu UMSKAL permudah vaksinasi

PPV pandu lalu UMSKAL permudah vaksinasi

Labuan: Seramai 52 individu melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 menggunakan kemudahan terbaru Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu yang dibuka di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), di sini, pada hari pertama operasinya, semalam.

PPV ketujuh di pulau bebas cukai itu direalisasikan menerusi kerjasama UMSKAL dengan Jabatan Kesihatan Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan.

Pengarah UMSKAL, Prof Dr Jualang Azlan Gansau, berkata operasi PPV itu berterusan sehingga tamat program PICK di Labuan untuk memudahkan penerima vaksin COVID-19, namun kemudahan itu hanya untuk penerima dos kedua.

“PPV secara pandu lalu ini hanya untuk pemberian vaksin dos kedua bagi membantu mengurangkan kesesakan di PPV awam yang lain dengan kapasiti pemberian vaksin sebanyak 800 hingga 1,000 orang sehari.

“Seramai 20 petugas kesihatan termasuk dua Jururawat Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan selain beberapa lagi sukarelawan MyVac dan sukarelawan komuniti membantu menjayakan PPV ini.

“Dua orang jururawat dari Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan akan bertugas sebagai ‘vaccinator’ selain seorang doktor dan seorang pembantu pegawai perubatan turut membantu secara berkala,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Pembukaan PPV itu semalam disaksikan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari; Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Daud dan Pengerusi JPBD Labuan, Rithuan Ismail.

PPV di UMSKAL itu adalah kemudahan kedua disediakan dalam kampus UMS selepas PPV UMS di kampus induknya di Kota Kinabalu, Sabah yang beroperasi sejak 13 Jun lalu.

Sementara itu, Dr Ismuni berkata pembukaan PPV secara pandu lalu itu adalah antara usaha untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk Labuan untuk mencapai imuniti kelompok sebelum Ogos depan.

“Jabatan Kesihatan Labuan dan JPBD Labuan merakamkan terima kasih kepada UMS yang membenarkan kita menggunakan fasilitinya untuk PPV secara pandu lalu agar pemvaksinan lebih teratur supaya sasaran 80 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas di pulau ini divaksin sebelum Ogos dapat dicapai.

“Kemudahan ini dapat mengurangkan kesesakan di PPV lain dan memudahkan warga Labuan melengkapkan dos kedua. Kita juga akan mewujudkan kemudahan pemberian vaksin secara bergerak untuk kemudahan golongan yang menghadapi kesukaran bergerak ke mana-mana PPV,” katanya.

Sehingga kelmarin (5 Julai), statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menunjukkan 54.4 peratus penduduk dewasa iaitu berumur 18 tahun ke atas di Labuan sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 26.6 peratus lengkap dua dos suntikan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|