Stor haram menempatkan sisa buangan diserbu

Stor haram menempatkan sisa buangan diserbu

Kota Kinabalu: Sebuah stor haram disita selepas didapati menyimpan lebih 1,000 tangki berisi sisa buangan dalam operasi dijalankan Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS) di Kampung Kembirian, Manggatal, di sini, semalam.

Serbuan jam 2.30 petang itu dijalankan hasil aduan yang diterima daripada penduduk yang mengadu terpaksa berdepan bau kurang menyenangkan seperti minyak diesel setiap hari.

Pengarah JAS Sabah, Amirul Aripin berkata, operasi bersepadu yang dijalankan mendapati terdapat lebih 1,000 unit tangki disyaki mengandungi bahan buangan terjadual disimpan di dalam gudang penyimpanan berkenaan.

Katanya, serbuan dibuat selepas pihaknya menjalankan siasatan dan intipan hampir seminggu di kawasan itu berkenaan.

“Kita menerima aduan daripada penduduk sekitar pada 26 Jun lalu yang mendakwa terpaksa berdepan bau seperti minyak diproses di kampung mereka.

“Intipan kemudian dilakukan dan mendapati ada pergerakan keluar dan masuk lori pada waktu malam dipercayai bagi mengaburi penduduk,” katanya pada sidang akhbar di premis menyimpan bahan kimia itu, hari ini.

Amirul berkata, hasil maklumat yang diperolehi, JAS dengan kerjasama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakukan serbuan untuk pemeriksaan.

“Hasil operasi, kita menemui lebih 1,000 tangki yang mengandungi buangan separa pepejal yang disyaki buangan terjadual dipercayai hasil daripada operasi di laut.

“Sampel juga sudah diambil dari tangki terbabit untuk di analisis di Jabatan Kimia Sabah,” katanya.

Amirul berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan berikutan tiada individu berada di lokasi kejadian ketika serbuan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenapasti pihak bertanggungjawab berdasarkan label yang tertera pada tangki di sini.

“Namun kita percaya aktiviti itu dilakukan sebagai jalan pintas dengan menggunakan gudang haram menyimpan bahan ini tanpa dilesenkan daripada JAS.

“Tindakan akan diambil mengikut Akta Kualiti Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti iaitu penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500, 000 jika sabit kesalahan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|