10 Ditahan, 59 masih diburu

10 Ditahan, 59 masih diburu

KOTA KINABALU: Polis sudah menahan 10 daripada 69 penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, yang melarikan diri ketika dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah ( PKRC).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, semua mereka berjaya ditahan selepas operasi memburu semua individu terbabit dijalankan di beberapa kawasan sekitar ibu negeri.

Katanya, semua mereka yang ditahan dikenalpasti sebagai pekerja gerai dan penjual ikan di Pasar Besar di sini.

“Mereka ditahan awal pagi hari ini dan akan diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi memburu 59 lagi individu yang masih bebas akan diteruskan dari semasa ke semasa” katanya semasa dihubungi hari ini.

Hazani berkata, semua 69 individu terbabit yang melarikan diri dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Katanya, mereka perlu menjalani ujian calitan atau ‘swab test’ sebelum diarahkan untuk menjalani kuarantin di PKRC ditetapkan.

“Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang positif COVID-19, bagaimanapun KKM mempunyai ada rekod berkenaan kejadian ini.

“Pasukan keselamatan akan menjalankan operasi pencarian di kawasan darat mahupun laut. Selain itu, laluan utama dari perkampungan Pulau Gaya ke ibu negeri juga dipantau akan sepenuhnya,” katanya.

Hazani berkata, arahan serah diri sudah dikeluarkan terhadap mereka yang masih hilang dan sekiranya enggan berbuat demikian, boleh dikenakan tindakan tegas.

Untuk rekod, Kampung Pondo adalah antara empat perkampungan di Pulau Gaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 8 hingga 6 Julai lalu.

Tiga lagi penempatan yang terlibat adalah Kampung Kasuapan, Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya selepas mencatatkan 215 kes positif COVID-19, sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|