Lelaki positif Covid-19 diburu

Lelaki positif Covid-19 diburu

KUDAT: Seorang lelaki berusia 50 tahun yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Rest House Kudat, di sini, diletakkan dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Katanya, usaha mengesan suspek dilakukan dengan mengambil kira setiap aspek terlibat termasuk maklumat yang diperolehi.

“Siasatan awal mendapati suspek dimasukkan ke PKRC daerah ini sejak 27 Jun lalu dan akan ditempatkan di pusat kuarantin terbabit sehingga 6 Julai depan.

“Lelaki ini dimasukkan ke PKRC berkenaan selepas ujian calitan atau ‘swab test’ menunjukkan keputusan positif COVID-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, suspek dipercayai bertindak keluar dari PKRC terbabit kira-kira jam 5.54 petang pada 5 Julai lalu.

“Suspek dikenalpasti mengambil kesempatan untuk melarikan diri semasa pintu pagar dibuka bagi memberi laluan kepada bas yang membawa pesakit baru ke pusat berkenaan.

“Suspek kini sedang dikesan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Kawalan Penyakit berjangkit,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|