Kerajaan negeri sumbang RM148,700 untuk sambutan Hari Guru 2021

Kerajaan negeri sumbang RM148,700 untuk sambutan Hari Guru 2021

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memberi sumbangan sebanyak RM148,700 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk sambutan Hari Guru Peringkat Negeri tahun 2021.

Sumbangan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mistirine Radin dalam satu majlis ringkas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata, sumbangan yang cukup besar itu adalah bagi mengenang jasa dan sumbangan guru-guru serta warga pendidikan di Sabah.

Hajiji menyampaikan sijil anugerah Tokoh Kepimpinan kepada Maimunah sambil diperhatikan oleh Mohd Arifin dan Dr Mistirine. (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

Katanya, Hajiji akan turut menyampai Anugerah Tokoh Kepimpinan sempena Hari Guru Negeri Sabah 2021 kepada bekas Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Maimunah Suhaibul.

“Maimunah,60, adalah mantan Pengarah Bahagian Profesionalisma Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dan mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.

“Salah satu sumbangan Maimunah ialah usaha memperjuangkan Guru Interim Pendidikan Islam di Sabah sehingga berjaya memberi peluang kepada ramai graduan agama di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, Hajiji juga akan menyampaikan anugerah Tokoh Guru kepada mantan Pengetua Cemerlang (Jusa C) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac Kota Kinabalu, Dr.Shirley Tay Siew Hong, 60.

Katanya, Dr Shirley berkhidmat selama 31 tahun dalam dunia pendidikan.

“Maimunah menerima kalung loket emas, wang tunai RM3,000 hasil sumbangan Bank Islam Malaysia dan sijil penghargaan.

“Manakala Dr.Shirley pula akan menerima kalung loket emas, Sijil Simpanan Premium sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM3,000 dan sijil penghargaan,” katanya.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Khan Bahadar serta Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri, Abidin Marjan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|