PPM gagalkan seludup petrol

PPM gagalkan seludup petrol

Semporna: Polis Polis Marin (PPM) Semporna berjaya mengagalkan satu cubaan penyeludupan petrol bersubsidi di kawasan Tanjung Manimpa, di sini, semalam.

Petrol yang dibawa menggunakan sebuah bot laju itu dikesan PPM ketika menjalankan operasi pemantauan di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan rondaan PPM terus menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, bot laju yang dipandu seorang lelaki itu terus memecut laju ke kawasan bakau Tanjung Manimpa sebelum terjun ke laut dan menghilangkan diri.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju itu menemui beberapa tong berisi petrol dan sebuah tong gas.

“Semua barangan bersubsidi berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohammad berkata, semua barangan yang dianggarkan bernilai RM16,787.50 itu terus dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Semporna.

“Semua barang rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah.

Katanya, semua maklumat boleh disalurkan secara terus menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|