Pelajar tingkatan 5 kritikal terbabit kemalangan

Pelajar tingkatan 5 kritikal terbabit kemalangan

Tawau: Seorang remaja berusia 17 tahun parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang dalam kejadian di Jalan Dunlop, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima terbabit dikatakan kritikal selepas mengalami kecederaan patah kaki dan pendarahan di kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal, mangsa yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal seorang diri di jalan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebuah kereta Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang di jalan berkenaan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa yang bergerak di jalan lurus terus merempuh pintu belakang kereta berkenaan.

“Mangsa terus terjatuh dan mengalami kecederaan serius iaitu patah kaki kanan pendarahan serius di kepala,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, mangsa terus dibawa ke wad kecemasan Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan mendapati, kedua-dua pemandu dan penunggang motosikal dalam kejadian ini tidak disyaki mabuk.

“Pihak polis percaya kejadian adalah berpunca dari pemandu kereta yang cuai semasa keluar daripada simpang di jalan berkenaan.

“Siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|