Kalah, menang, seri bersama – Kurniawan

Kalah, menang, seri bersama – Kurniawan

Kota Kinabalu: Meskipun jelas kesilapan pemain yang menyebabkan gol sendiri membawa padah kepada pasukan Sabah FC ketika pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City), malam tadi, Kurniawan Dwi Yulianto mengambil pendirian tidak menyalahkan sesiapa.

Pengendali skuad Sang Badak itu menjelaskan kalah, menang atau berakhir dengan keputusan seri, ia adalah usaha bersama pasukan dan bukannya kegagalan seorang pemain semata-mata.

“Ia kegagalan pasukan, bukan kegagalan seorang, bukan hanya kegagalan penjaga gol. Kalah, menang atau seri bersama. Saya tidak menyalahkan mana-mana pemain,” katanya selepas permainan Sabah FC menentang KL City di Stadium Likas yang berkesudahan 1 – 1, malam tadi.

KL City mendapat gol percuma pada minit ke-22 selepas penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim gagal menangkap bola yang cuba diberikan pemain pertahanan, Randy Baruh, menyebabkan bola meluru ke dalam gawang.

Kurniawan bagaimanapun mengakui kecewa dengan pencapaian pasukannya kerana kesilapan yang dilakukan pemain menyebabkan Sabah gagal lagi dalam misinya memburu tiga mata di gelanggang sendiri.

Jelasnya, pemain Sabah FC boleh mengawal permainan tetapi menghadapi masalah penyudah kerana ada beberapa peluang untuk menghasilkan gol gagal disudahkan dengan baik.

“Kemudian, yang paling penting bagaimana kita harus membayar kesilapan kita dengan gol. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi ia penting untuk evaluasi pasukan kerana dalam sesi ini kita banyak hilang mata disebabkan kesilapan kita sendiri.

“Justeru, saya minta pemain untuk fokus dan berikan sepenuh tumpuan sepanjang 90 minit permainan kerana kesilapan kita akan dibayar dengan gol lawan,” katanya.

Sabah bernasib baik dapat berkongsi satu mata dengan KL City selepas berjaya menyamakan kedudukan menerusi tendangan percuma pemain import, Levy Clement Madinda dari luar kotak penalti KL City pada minit ke-65.

Perlawanan malam tadi adalah yang ketiga berakhir dengan keputusan seri selepas empat permainan dalam aksi pusingan kedua Liga Super musim ini, manakala tewas dalam satu perlawanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|