SAPP yakin Muhyiddin terus pimpin PN

SAPP yakin Muhyiddin terus pimpin PN

Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun berdepan undi percaya di Parlimen, bulan depan.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, berkata beliau yakin Muhyiddin akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen apabila usul undi percaya itu dibentangkan nanti.

“Kita seharusnya kagum dengan cara Muhyiddin yang tenang dan tidak goyah menangani cabaran politik yang dilemparkan terhadapnya.

“Inilah sepasang tangan mantap dan pasukan kuat yang sangat diperlukan negara dalam tempoh yang kritikal sekarang,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Mengulas lanjut, Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata semua orang dapat melihat sekurang-kurangnya empat pesaing jawatan Perdana Menteri yang banyak membuat bising mendesak peletakan jawatan Muhyiddin.

Teck Lee berkata, mempunyai persamaan jalan cerita untuk menjatuhkan Perdana Menteri kelihatan mudah bagi mereka berbanding siapa yang seharusnya menjawat jawatan itu jika Muhyiddin kalah dalam undi percaya nanti.

Sementara itu, Teck Lee berkata undi percaya bagi menentukan sokongan majoriti Perdana Menteri adalah perkara yang paling tepat untuk dilaksanakan.

Katanya, perkara itu selaras dengan perlembagaan dan demokrasi berparlimen dalam sistem raja berperlembagaan.

“Ia juga cara paling berkesan untuk memuktamadkan budaya politik tidak berkesudahan yang menyebabkan banyak kesusahan dan kekecewaan kepada rakyat.

“Rakyat mahu melihat suara hingar-bingar mahu menjadi Perdana Menteri dihentikan dan benarkan Perdana Menteri (Muhyiddin) dan kerajaannya melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, dengan proses vaksinasi yang semakin rancak, negara kini di landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok dan membuka semula ekonomi dalam masa beberapa bulan lagi.

“Mungkin, ini yang ditakuti pembangkang dan ahli politik yang terdesak bahawa pandemik Covid-19 akan berakhir tidak lama lagi dan ekonomi akan kembali pulih.

“Kita perlu ingat bahawa Pakatan Harapan (PH) yang mensia-siakan mandat rakyat kepada mereka dengan menjerumuskan diri mereka dalam perebutan kuasa dalaman yang kemudian menjatuhkan kerajaan mereka.

“PH melakukan bunuh diri politik pada Februari 2020 apabila Perdana Menteri PH meletak jawatan selepas perebutan kuasa dalaman yang berpanjangan dalam pakatan berkenaan,” katanya.

Jelas Teck Lee, penampilan Muhyiddin jauh berbeza dengan pembangkang yang memperlihatkan tingkah laku keterlaluan di dalam dan luar Parlimen membuatkan rakyat hilang keyakinan politik terhadap mereka.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen pembangkang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berhimpun di jalanan kelihatan seperti sebuah pertunjukan lawak.

“Bagi semua Ahli Parlimen Sabah yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada Isnin lalu, mereka patut menjalani kuarantin wajib apabila balik ke Sabah,” katanya

SAPP adalah parti tempatan Sabah yang diterima menjadi komponen PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|