Majlis pengebumian cetus Kluster Tempasuk di Kota Belud

Majlis pengebumian cetus Kluster Tempasuk di Kota Belud

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan penularan dalam komuniti yang dipercayai berpunca daripada majlis pengebumian direkodkan di Sabah, semalam.

Kluster Tempasuk di Kota Belud itu dikesan selepas seorang juruwang wanita di sebuah bank didapati positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala pada 26 Julai lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes indeks berumur 32 tahun itu mengalami demam, sakit badan, sakit tekak, selesema dan batuk sebelum menjalani saringan.

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan yang dilakukan terhadap 159 kontak mendapati 29 positif Covid-19 termasuk sembilan kes baharu yang dikesan hari ini (semalam).

“Semua 29 kes positif sudah dirujuk untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). Setakat ini, kontak rapat sudah diarahkan kuarantin untuk pengasingan,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, menggesa pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ketua mukim supaya mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing supaya tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengebumian.

Katanya, peringatan itu adalah untuk semua tidak kira masyarakat beragama Islam atau bukan

“Kita mahu semua anggota masyarakat sama ada Muslim atau bukan Muslim supaya tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengebumian seperti kenduri, tahlil dan sebagainya.

“Hal ini mustahak bagi mengelakkan penularan jangkitan yang berpotensi mencetuskan kluster baharu yang semakin meningkat ketika ini khususnya berkaitan penganjuran majlis sosial.

“Orang ramai yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan majlis sosial ini, akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Semalam, Sabah mencatat 949 kes baharu Covid-19 dengan enam kematian iaitu masing-masing dua di Kota Kinabalu dan Tawau serta satu di Sipitang dan Papar, manakala seramai 413 pesakit dilaporkan sembuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|