PPM banteras kegiatan bom ikan

PPM banteras kegiatan bom ikan

Semporna: Tiga bot yang melakukan aktiviti pengeboman ikan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dalam operasi di perairan Pulau Kerindingan, Pulau Nusa Tongah dan Laut Pulau Omadal, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, ketiga-tiga bot yang ditahan adalah membabitkan jenis pump bot.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot membawa beberapa jenis peralatan yang digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan.

“Ketika ditahan, PPM turut berjaya merampas hasil beberapa jenis ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

“Kita turut menahan bot dan enjin sangkut untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan turut didapati memiliki kayu bergergaji tanpa permit dari Jabatan Perhutanan.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Perhutanan 1968 dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM29,130,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|