Calon PM: Ismail Sabri wakil BN, Anwar atau Shafie wakil PH

Calon PM: Ismail Sabri wakil BN, Anwar atau Shafie wakil PH

Kota Kinabalu: Siapa Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka diketahui lewat petang hari ini selepas semua Ahli Parlimen mengemukakan akuan bersumpah (SD) mengenai calon sokongan mereka kepada Istana Negara.

SD berkenaan diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi menentukan calon mana mempunyai majoriti sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Yang di-Pertuan Agong menemui semua ketua parti dalam majlis mengadap baginda di Istana Negara semalam.

Berikutan itu, semua 218 Ahli Parlimen perlu menyerahkan SD sokongan calon masing-masing kepada Istana Negara sebelum jam 4 petang ini seperti dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan Azhar, semalam.

Setakat ini seorang calon sudah disahkan iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan dinamakan sebulat suara oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Pemilihan Ismail Sabri dikatakan dibuat berdasarkan kedudukannya sebelum ini sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan difahamkan pencalonan beliau turut disokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dikatakan turut mendapat sokongan Ahli Parlimen PN dan dinamakan sebagai pengganti Muhyiddin selepas peletakan jawatannya kelmarin, mengambil kira imejnya yang bersih daripada sebarang kes.

Sehingga malam tadi, laporan media mengatakan Ismail Sabri sudah mendapat sokongan lebih 111 Ahli Parlimen yang akan menamakannya sebagai calon Perdana Menteri dalam SD yang akan dihantar ke Istana Negara, hari ini.

Sementara itu, di pihak Pakatan Harapan (PH), laporan setakat malam tadi mengatakan dua nama bersaing untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie dalam satu wawancara di Astro Awani malam tadi menjelaskan beliau dan Anwar mencapai persetujuan untuk menamakan salah seorang daripada mereka sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan siapa yang dapat menarik sokongan Ahli Parlimen untuk membolehkan PH mendapat majoriti kerusi di Parlimen.

PH yang disertai PKR, DAP dan AMANAH serta disokong PEJUANG, WARISAN dan UPKO selain beberapa wakil rakyat bebas memiliki 105 Ahli Parlimen yang bermakna blok pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya tujuh lagi sokongan untuk mendapat majoriti mudah.

Difahamkan, Mohd Shafie menawarkan diri untuk calon Perdana Menteri sebagai pilihan kepada Ahli Parlimen blok pembangkang yang tidak menyokong Anwar, namun semua wakil rakyat pembangkang dikatakan perlu menyokong Anwar jika Mohd Shafie tidak berjaya menarik sokongan Ahli Parlimen di luar PH untuk menyokong beliau.

Jika Mohd Shafie berjaya menarik sokongan yang diperlukan PH, Ahli Parlimen Semporna itu bakal menjadi pemimpin pertama dicalonkan sebagai Perdana Menteri mewakili Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, nama bekas Ketua Menteri Sabah itu juga pernah disebut sebagai calon pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggalas jawatan Perdana Menteri.

Namun, setakat pagi ini belum ada perkembangan terbaharu mengenai kedudukan Mohd Shafie sama ada beliau sudah berjaya menarik sokongan Ahli Parlimen dari luar PH untuk menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Seramai 218 Ahli Parlimen mempunyai masa sehingga jam 4 petang ini untuk menyerahkan SD masing-masing kepada Istana Negara sebelum nama calon Perdana Menteri yang mendapat paling banyak sokongan diumum sebagai pengganti Muhyiddin.

Secara keseluruhan Parlimen Malaysia mempunyai 220 kerusi Dewan Rakyat, namun dua kerusi kosong iaitu Batu Sapi di Sabah dan Gerik di Perak berikutan kematian penyandang masing-masing pada tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|