ADUN Lumadan bantu bawa peraih borong durian

ADUN Lumadan bantu bawa peraih borong durian

Beaufort: Akur dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa yang melarang perjalanan rentas daerah, kebanyakan pekebun kecil berdepan kesukaran memasarkan hasil tanaman mereka.

Malah kekangan itu turut menyebabkan pendapatan pekebun buah bermusim juga terjejas kerana tiada peluang untuk memasarkan hasil mereka di bandar-bandar besar.

Masalah yang dihadapi golongan pekebun kecil itu bagaimanapun mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam yang bertindak membawa masuk peraih atau pemborong ke kawasan berkenaan.

Salah seorang pekebun, Salleh Lasim, 74, berkata, musim buah kali ini mengeluarkan hasil yang cukup baik untuk pekebun kecil seperti dirinya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, golongan pekebun berdepan kesukaran untuk memasarkan hasil tanaman ke daerah lain.

“Sebelum ini, kebiasaannya pendapatan menjual hasil durian boleh mencecah sehingga RM20,000 tetapi kali ini cuma sekitar RM9,000.

“Kali ini, kami berdepan kesukaran memasarkan hasil tanaman ke pasaran yang lebih besar seperti bandaraya Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Salleh berkata, inisiatif yang dilakukan ADUN Lumadan membawa masuk peraih sedikit sebanyak membantu melancarkan perniagaan kami.

Seorang lagi pekebun, Rubiah Lajim, 50, berkata, dia amat bersyukur kerana inisiatif dibuat YB Ruslan Muharam membantu mengurangkan kemungkinan kerugian yang terpaksa ditanggung.

Katanya, kawasan perkampungannya yang agak terpencil sememangnya berdepan kesukaran untuk mempromosi atau memasarkan hasil kebun duriannya.

“Sejak penularan Covid-19 dan SOP yang semakin diperketatkan, kami sukar untuk memasarkan secara terbuka.

“Tapi dengan adanya inisiatif ini, kami tidak lagi perlu keluar dari kampung kerana ada pemborong yang datang untuk membeli hasil durian yang dikumpul,” katanya.

Sementara itu, Ruslan berkata, masalah yang dihadapi golongan pekebun sememangnya memerlukan pihak yang membantu.

Katanya, mereka tidak lagi dapat membuat pemasaran hasil buah-buahan disebabkan oleh SOP yang dikuatkuasakan.

“Usaha kita membawa pemborong dari luar ternyata membantu pekebun menjana pendapatan.

“Ini kerana mereka berdepan kesukaran untuk mempromosi hasil tanaman disebabkan SOP ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|