Papar: Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen) mengagihkan lebih 200 bendera Jalur Gemilang dan negeri Sabah sempena Bulan Kemerdekaan tahun ini.
Gimik pengagihan Jalur Gemilang berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Program Penyampaian Bakul Makanan dan Penyerahan Jalur Gemilang.
Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, pengagihan Jalur Gemilang dan bendera Sabah itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat walaupun berdepan pandemik Covid-19.
Katanya, secara keseluruhannya, JaPen mengedarkan sebanyak 200 helai Jalur Gemilang dan bendera Sabah khusus untuk program ini.
“Persiapan yang bermula sejak semalam, membolehkan JaPen membuat pengagihan kepada beberapa lokasi termasuk Istana Negeri Sabah, Balai Polis Bongawan selain Pondok Sekatan Jalan Raya (SJR) 3 dan SJR 4.
Tun Juhar menerima Jalur Gemilang daripada Nadzerah (kiri).Pix/Jabatan Penerangan Sabah.
“Kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Juhar dalam program ini sememangnya amat kami hargai dan kami menjunjung kasih,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan di Balai Polis Bongawan.
Program sehari itu adalah kolaborasi pintar antara JaPen Sabah dengan Polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah serta Istana Negeri Sabah.
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dan Timbalannya, Datuk Mazli Mazlan.
Mengenai perkembangan IOW Merdeka, Nadzerah berkata, setakat hari ini JaPen Sabah sudah mencapai 45 peratus daripada sasaran ditetapkan.
Katanya, tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan petugas di lapangan, JaPen akan terus melaksanakan IOW Merdeka menerusi hebahan untuk mengajak masyarakat supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
“Bulan kebangsaan yang disambut bermula 1 Ogos hingga 16 September setiap tahun di seluruh negara itu akan menjadi wadah penzahiran rasa cinta rakyat terhadap tanah air.
-Deasoka