Semangat patriotik sokong usaha perangi Covid-19

Semangat patriotik sokong usaha perangi Covid-19

Tuaran: Selain dengan mengibar Jalur Gemilang, semangat patriotik terhadap negara juga boleh ditunjukkan menerusi sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata semangat kecintaan kepada negara dalam norma baharu boleh diperlihatkan menerusi pematuhan terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) dan usaha yang diambil kerajaan.

“Kalau ini dapat dilaksanakan, kita telah memperlihatkan betapa cinta dan kasihnya kita kepada negara kita Malaysia kerana dengan melakukan semua ini, kita telah membantu negara untuk hidup dalam keadaan sihat dan terpelihara daripada pandemik yang dasyat dan menekan kehidupan kita seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai program Info on Wheels (IOW) – Norma Baharu anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tuaran sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Daerah Kecil Tamparuli, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging; Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata program penyerahan Jalur Gemilang secara simbolik ke beberapa lokasi terpilih di Tamparuli itu adalah untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Warga Malaysia khsususnya anak-anak muda perlu disedarkan bahawa sempena Bulan Kebangsaan ini, kita harus memperbaharui tekad dan cinta kepada negara dengan berpegang kepada prinsip Rukun Negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini termasuk di Tamparuli agar sentiasa menuruti apa sahaja arahan yang dikeluarkan kerajaan bagi menghalang penularan Covid-19 demi kelangsungan hidup bersama.

“Tiada guna kita laungkan kemerdekaan jika kita tidak menyokong program vaksinasi dan mengingkari SOP yang ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|