Pondok jadi stor simpan rokok seludup

Pondok jadi stor simpan rokok seludup

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang penyeludup dan merampas sejumlah rokok tidak bercukai dalam serbuan di sebuah pondok di kawasan Tanjung Kapor, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 11.10 malam itu, serbuan dijalankan selepas PPM mengenalpasti lokasi yang dijadikan tempat persembunyian rokok seludup berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, hasil serbuan PPM di sebuah pondok tidak beralamat di kawasan berkenaan, pihaknya berjaya menemui penyimpanan rokok tidak bercukai.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui sejumlah rokok yang dipercayai tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM3,150.

“Seorang lelaki yang dipercayai penghuni pondok berkenaan iaitu seorang lelaki dewasa berusia 55 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Rampasan dan tangkapan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Cyril berkata, siasatan lanjut kes dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Cyril berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|