Sabah FC lebih bersedia musim depan – Ong Kim Swee

Sabah FC lebih bersedia musim depan – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyatakan keyakinan mampu menampilkan pasukan yang lebih baik bersandarkan kepada pengalaman yang diperolehi pemain muda sepanjang aksi Piala Malaysia musim ini.

Kim Swee yakin, pemain muda Sabah FC yang diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama ketika beliau mengambil alih kejurulatihan pasukan akan lebih matang dan bersedia menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Jelas beliau, misinya ketika menerima tawaran sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC adalah untuk membentuk pasukan yang lebih mantap sebagai persiapan menghadapi saingan liga pada musim depan.

“Pemain Sabah mempunyai komitmen yang tinggi dan mereka cuba melakukan apa yang harus dilakukan tetapi kematangan pemain membezakan permainan di padang.

“Namun, pemain muda terutamanya, mereka mendapat pengalaman dan saya percaya tahun depan mereka akan bertambah matang dan kita mampu mengubah skrip,” katanya pada sidang media selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 Melaka United FC bertemu Sabah FC di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Perlawanan malam tadi menyaksikan skuad Sang Badak tewas 2 – 1, selepas turut tewas 1 – 0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas pada Ahad lalu, sekali gus gagal meneruskan saingan ke separuh akhir Piala Malaysia tahun ini.

Kim Swee berkata, apabila mengambil alih Sabah FC, tugas utamanya adalah untuk melihat dan memilih pemain yang akan membarisi pasukan pada tahun depan.

“Pemain sedia ada memberikan segala kerjasama ketika saya mengambil alih pasukan dan cuba memberikan yang terbaik dalam membuat persiapan, latihan dan perancangan yang saya lakukan.

“Namun, seperti yang saya kata, pemain muda mendapat peluang dan ini akan membantu memberi mereka kematangan pada tahun depan untuk berdepan dengan pasukan berkualiti seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan tahun depan bersama Sabah FC, Kim Swee berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pengurusan pasukan, manakala pemain akan diberi rehat sepenuhnya sebelum aksi Liga Malaysia musim depan yang dijadual bermula pada Februari.

Beliau turut menekankan setiap pasukan pasti ada perubahan apabila memasuki musim baharu, namun sejauh mana perubahan yang dilakukan bergantung kepada kemampuan berbelanja berdasarkan bajet yang ada.

Sementara itu, mengulas kekalahan Sabah FC dalam aksi malam tadi, Kim Swee berkata gol pertama Melaka United FC yang membolosi gawang pasukannya seawal minit ketiga permainan merosakkan keseluruhan perancangan Sabah FC.

Pada masa sama, beliau turut mengakui pasukan Melaka berada pada tahap yang cukup baik dan berkualiti, terutama dengan kehadiran pemain import berpengalaman mereka yang sukar ditandingi pemain Sabah.

Berikutan kemenangan dengan agregat 3 – 1 dalam kedua-dua aksi suku akhir menentang Sabah, Melaka United meneruskan langkah ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2021 bertemu Kuala Lumpur FC pada 22 dan 26 November ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|