PPZ-MAIWP, UMSKAL jalin kerjasama tingkatkan kefahaman zakat

PPZ-MAIWP, UMSKAL jalin kerjasama tingkatkan kefahaman zakat

Labuan: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengambil inisitaif menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meningkatkan kefahaman pelajar mengenai zakat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, berkata pendekatan itu adalah antara usaha berterusan institusi berkenaan dalam mengarusperdanakan zakat kepada masyarakat.

Katanya, pelbagai kemudahan dan saluran zakat perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memudahkan masyarakat Islam melaksanakan kewajipan mereka.

“Selari dengan hal ini, PPZ-MAIWP melaksanakan pelbagai usaha dengan bekerjasama dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) demi mengangkat zakat kepada perhatian awam.

“Peranan yang dapat kami mainkan adalah dengan memasukkan elemen pembelajaran zakat kepada golongan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sudut Bacaan AZKA (Akademi Zakat) @Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada Rabu lalu.

Turut hadir Pemangku Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid; Pengurus Besar Kanan Operasi PPZ-MAIWP, Mohamad Hassan; Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Mohd Tuah dan Pustakawan Kanan UMSKAL, Dg Ruhidah Raplee.

Abdul Hakim berharap pengetahuan mengenai zakat dapat sampai kepada golongan pelajar dengan kewujudan sudut bacaan yang dipenuhi dengan buku-buku zakat.

“Adalah diharapkan pelajar UMSKAL memberi respon yang baik, membaca dan mengulang kaji buku-buku zakat yang ada,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Rizal yang mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS), mengucapkan terima kasih kepada PPZ-MAIWP atas inisiatif mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZ-MAIWP dan UMSKAL dengan mewujudkan Sudut Bacaan Akademi Zakat (AZKA Corner) di Perpustakaan UMSKAL.

Sudut bacaan AZKA adalah yang pertama di seluruh Kampus UMS dan UMSKAL telah dipilih sebagai lokasi yang pertama.

“Pihak UMSKAL amat berbesar hati dengan inisiatif PPZ-MAIWP untuk warga UMSKAL yang dapat dimanfaatkan dalam jangka masa panjang di samping jalinan kerjasama dapat diperkukuhkan lagi antara kedua-dua pihak,” katanya.

Sebanyak 419 bahan bacaan yang meliputi buku-buku, kajian dan bahan-bahan rujukan berkaitan zakat dan kewangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan oleh mahasiswa, pensyarah dan kakitangan UMSKAL.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|