Piala Malaysia 2021: Harapan Sabah ke separuh akhir tidak kesampaian

Piala Malaysia 2021: Harapan Sabah ke separuh akhir tidak kesampaian

Melaka: Hasrat Sabah membuat kejutan untuk ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas 2 – 1 di tangan Melaka United pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Berikutan kekalahan Sabah FC itu, Melaka mengumpul agregat 3 – 1 kerana turut mengalahkan skuad Sang Badak 1 – 0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, Ahad lalu.

Aksi malam ini menyaksikan Sabah FC tewas seawal minit ketiga lagi selepas rembatan pemain import Melaka United, Adriano Aparecido Narcizo gagal ditampan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Derita Sabah bersambung di babak kedua apabila sekali lagi Rozaimie tewas di tangan seorang lagi pemain import Melaka, Sony Norde pada minit ke-77.

Secara keseluruhan, Melaka mengawal keseluruhan permainan kerana lebih banyak mengasak dan mengawal bola serta melakukan banyak cubaan untuk menjaringkan gol berbanding pasukan pelawat.

Pasukan Sang Badak hanya berpeluang melakukan satu dua cubaan sepanjang kedua-dua babak permainan, namun semuanya gagal menepati sasaran.

Bagaimanapun, Sabah tidak kempunan gol apabila kaptennya Risto Mitrevski, berjaya menjaringkan gol tunggal Sabah melalui sepakan panalti pada masa kecederaan, minit ke-93.

Sepakan penalti itu diberikan kepada skuad Sang Badak apabila seorang pemain Sabah dijatuhkan di kawasan kotak penalti Melaka ketika aksi berebut bola di hadapan gawang tuan rumah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|