Kanak-kanak maut, 3 cedera kereta terputus dua

Kanak-kanak maut, 3 cedera kereta terputus dua

Beluran: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas kenderaan dinaiki dipercayai bertembung dalam kejadian di Jalan Kampung Satura, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikatakan menaiki kereta Toyota Corolla bersama tiga lelaki dewasa yang turut mengalami kecederaan.

Difahamkan, kenderaan Toyota Corolla berkenaan turut terputus dua akibat impak perlanggaran berkenaan manakala kereta pacuan empat roda Toyota Vigo milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, salah seorang daripada mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan dan usaha menyelamatkan semua mangsa terlibat terus dijalankan.

“Pemandu lelaki kenderaan KKM berada dalam keadaan selamat manakala tiga lagi lelaki yang menaiki kenderaan Toyota Corolla cedera dan terus dihantar ke Hospital Beluran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan medianyang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sejurus selepas itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|