Covid-19 Sabah: Jangkitan pelajar asrama cetus Kluster Kemburongoh di Ranau

Covid-19 Sabah: Jangkitan pelajar asrama cetus Kluster Kemburongoh di Ranau

Kota Kinabalu: Satu kluster baharu Covid-19 dilaporkan di daerah Ranau, membabitkan jangkitan dalam institusi pendidikan, hari ini.

Kluster Kemburongoh itu dikesan dalam kalangan pelajar dan warden asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemburongoh.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata setakat ini seramai 22 individu dilaporkan positif.

Katanya, kes indeks ialah seorang pelajar yang tinggal di asrama sekolah terbabit.

“Satu kluster baharu diisytiharkan di Kampung Kemburongoh, Ranau yang melibatkan pelajar tinggal di asrama SMK Kemburongoh serta warden asrama dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan media, petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata, jumlah kes baharu di Sabah hari ini susut 58 kes kepada 541 kes.

Katanya, ia berikutan penurunan kes baharu di beberapa daerah seperti Tuaran (-39), Kota Belud (-24) dan Keningau (-14).

“Bagaimanapun, kes baharu bertambah agak tinggi di Penampang (+25) dan Tenom (+33).

“Kes baharu yang berpunca daripada saringan bergejala amat tinggi, iaitu 41.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Di Kota Kinabalu, 43 daripada 93 kes hari ini adalah kes yang diperolehi melalui saringan bergejala, manakala 24 daripada 56 kes di Tuaran dan 15 daripada 28 kes di Kota Belud.

“Kes dalam kategori ini juga dikenali sebagai kes sporadik kerana tidak diketahui di mana jangkitan berlaku dan daripada siapa. Yang pasti ia banyak berkait rapat dengan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan agar orang ramai terus mematuhi semua SOP walaupun sudah memperolehi vaksin lengkap.

Beliau turut mengulangi peringatan bahawa vaksin lengkap tidak menjadikan seseorang individu kebal daripada jangkitan.

“Vaksin cuma menyelamatkan kita daripada kesan serius jangkitan Covid-19 yang boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 18 November 2021
Sabah 541 (599)
Malaysia 6,380 (6,288)

Kota Kinabalu 93 (101)
Penampang 60 (35)
Tuaran 56 (95)
Tenom 45 (12)
Ranau 38 (40)
Kota Marudu 33 (28)
Beaufort 32 (31)
Papar 29 (29)
Kota Belud 29 (53)
Putatan 16 (16)
Sandakan 14 (21)
Kinabatangan 13 (13)
Kudat 12 (17)
Tambunan 11 (15)
Keningau 11 (25)
Tawau 11 (2)
Sipitang 9 (12)
Nabawan 7 (2)
Pitas 7 (7)
Beluran 6 (19)
Semporna 3 (0)
Kuala Penyu 3 (6)
Lahad Datu 2 (10)
Kunak 1 (3)
Telupid 0 (4)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (2)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 17 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|