Polis tahan 12 lelaki, selesai 12 kes pecah rumah di Semporna

Polis tahan 12 lelaki, selesai 12 kes pecah rumah di Semporna

Semporna: Polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah selepas menahan 12 lelaki dan merampas pelbagai jenis barangan hasil kegiatan jenayah mereka di daerah ini.

Semua suspek lelaki terdiri daripada tujuh warga tempatan dan lima warga asing berusia 17 hingga 53 tahun ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji dan Kampung Tembok, pada 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua suspek ditahan pasukan polis terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Balai Polis Semporna.

Katanya, tangkapan dilakukan sejurus selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 43 tahun bekerja sebagai penjawat awam yang mana rumahnya di Taman Semporna Centre telah dipecah masuk melalui tingkap, pada 5 September lalu.

“Beberapa barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan sehelai telekung serta wang tunai RM180 hilang. Keseluruhan kerugian dianggarkan hampir RM3,000.

“Susulan daripada kes itu termasuk beberapa laporan polis yang diterima mengenai kes pecah rumah, polis menubuhkan sebuah pasukan Task Force bagi mengesan penjenayah terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Barangan yang dirampas oleh pasukan polis selepas menahan 12 lelaki di Semporna. Gambar ihsan PDRM.

Mohd Farhan berkata, hasil risikan dan maklumat awam, polis berjaya menahan 12 lelaki iaitu tujuh warga tempatan dan lima warga asing ditahan.

“Hasil penahanan semua suspek, polis merampas pelbagai barangan termasuk beberapa helai pakaian wanita.

“Dengan tertangkap semua suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah di daerah ini terutama kawasan perumahan yang berlaku pada tahun ini dengan anggaran kerugian RM20,000,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua suspek kini direman sehingga 6 Oktober untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|