Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah mengambil langkah tegas melaksanakan pembudayaan nilai integriti ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatannya.
Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya, berkata aspek itu perlu diterapkan dalam kalangan semua warga kementerian termasuk kakitangan jabatan dan agensi di bawahnya.
Beliau berkata, langkah itu juga seiring dengan pelaksanaan ‘kerajaan digital’ yang semakin mendapat tempat dan menjadi nilai tambah dalam memastikan ketelusan serta keberkesanan pentadbiran.
“Kerajaan menetapkan halatuju untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang bebas rasuah dan meningkatkan tadbir urus serta integriti dalam masyarakat khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Datuk Shahelmey Yahya (tengah) bersama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Sr Lee Chun Khiong (kiri) menyerahkan buku Pelan Strategik KPMKR 2021-2026 kepada Pegawai Eksekutif Majlis Pekhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) Joanne Lee (kanan) di Pejabat Menteri pagi tadi.
“Misi berkenaan adalah sejajar dengan matlamat membendung dan membanteras amalan rasuah dalam sistem pengurusan ke arah pentadbiran dan perkhidmatan yang lebih telus, cekap dan berkesan,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan Minggu Integriti dan Pelancaran Pelan Strategik 2021-2026 peringkat KPMKR di pejabatnya, pagi tadi.
Menurutnya, KPMKR menyahut saranan kerajaan negeri dalam menangani masalah rasuah di negeri ini.
“Kementerian ini menyahut saranan kerajaan negeri untuk menggubal satu Pelan Antirasuah yang mana ianya akan dapat meminimumkan tatacara salah laku.
“Harapan saya agar kementerian ini berganding bahu dan bersatu hati dalam usaha memerangi rasuah melalui penguatkuasaan Pelan Antirasuah,” katanya.
-Deasoka