Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Negeri Sabah memandang serius kejadian pembunuhan 11 penyu hijau yang dilaporkan, baru-baru ini.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan JHL hari ini berkata, jenayah membabitkan pembunuhan penyu berkenaan dipercayai dilakukan oleh Bajau Laut atau masyarakat Palauh.
Katanya, kebanyakan mereka tidak mempunyai pengenalan diri dan ia menyukarkan proses penangkapan untuk dilakukan.
“Mereka ini menggunakan perahu kecil yang mudah mendarat di pulau sebelum masuk ke dalam hutan untuk mengelak daripada dikesan.
“Sehingga kini, operasi untuk mengesan penjenayah yang terbabit masih sedang giat dijalankan,” katanya.
Menurutnya, pihak JHL mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam pelaksanaan Op Bersepadu Khazanah (OBK) bersama JHL.
“Sehuhungan itu, JHL memohon kerjasama penduduk setempat agar melaporkan aktiviti pemburuan penyu.
“Sebarang maklumat bole disalurkan kepada pihak berkuasa agar jenayah di perairan daerah Semporna ini dapat dibanteras,” katanya.
Menurutnya, penyu hijau adalah spesis haiwan dilindungi mengikut Enakmen Hidupan Liar 1997.
Sementara itu, kenyataan itu turut menegaskan, operasi memburu penjenayah penyu itu sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
Katanya, pada 6 Julai lalu, pihaknya pernah menahan seorang lelaki bersama 12 keping cengkerang, 39 sisik marginal dan 4.8 kilogram lemak penyu.
“Lelaki terbabit sudah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman denda RM150,000 dan empat tahun penjara,” katanya.
-Deasoka