Covid-19 Sabah: Kinabatangan catat kes tertinggi hari ini

Covid-19 Sabah: Kinabatangan catat kes tertinggi hari ini

Kota Kinabalu: Daerah Kinabatangan mencatat kes baharu Covid-19 tertinggi di Sabah dengan sebanyak 107 kes dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia menjadikan daerah itu satu-satunya kawasan yang mencatat kes tiga angka hari ini.

Katanya peningkatan mendadak berbanding hanya 15 kes yang dilaporkan semalam itu berpunca daripada dua kluster baharu berkaitan tempat kerja yang direkodkan hari ini.

Kluster terbabit katanya ialah Kluster Tabulion yang mencatat 63 kes baharu hari ini, manakala satu lagi ialah Kluster Sandau Sawit dengan sebanyak 25 kes baharu dan 28 kes kumulatif.

“Peningkatan drastik jumlah kes di daerah Kinabatangan adalah berpunca daripada kewujudan dua kluster baharu iaitu Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit.

“Dua kluster ini sahaja menyumbang 82.2 peratus daripada kes yang direkodkan hari ini di Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata negeri ini terus mencatat ‘trend’ penurunan kes harian dengan catatan 677 kes hari ini.

Jumlah itu, katanya adalah catatan terendah sejak 24 Julai lalu hasil penurunan 90 kes berbanding 767 kes, semalam.

“Penurunan secara keseluruhan yang dicatatkan hari ini menunjukkan prestasi yang baik di mana 21 daerah mencatatkan penurunan kes, hanya lima daerah mencatatkan peningkatan kes, manakala satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan kes yang sama seperti semalam.

“Hanya tiga daerah yang mencatat kes di atas paras 50 kes iaitu Kinabatangan sebanyak 107 kes, Kota Kinabalu (94 kes) dan Keningau (78 kes),” katanya.

Katanya, bagi daerah yang mengalami ‘trend penurunan berbanding catatan kes semalam, Lahad Datu mencatatkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 35 kes, diikuti Kota Kinabalu dan Putatan masing-masing 18 kes, Putatan -18 kes, manakala Tawau turun 16 kes, Ranau (15 kes), Kota Marudu (15 kes), Sipitang (13 kes), Nabawan (13 kes), Penampang (13 kes), Pitas (12 kes) dan Sandakan turun 11 kes.

Jelas Masidi, analisis graf data terkini menunjukkan Sabah berada dalam landasan untuk ‘trend’ pelandaian kes.

“Namun, sekali lagi diingatkan bahawa faktor utama kepada naik atau turunnya graf jangkitan kes baharu adalah sikap kita sendiri.

“Pematuhan secara total kepada semua SOP dan amalan baik penjagaan kesihatan diri adalah kunci utama kepada kekebalan kita daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|