Polis sahkan kematian mengejut

Polis sahkan kematian mengejut

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang meninggal dunia di hadapan sebuah restoran di Taman Cantek, Lido, di sini, disahkan sebagai kes kematian mengejut.

Dalam kejadian jam 8.49 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun yang pergi ke kedai berkenaan untuk sarapan pagi dikatakan tiba-tiba rebah sebelum pekerja restoran menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 8.49 pagi sebelum mengerahkan sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tubuh badan mangsa tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.

“Temubual dengan ibu dan adik mangsa dilokasi kejadian memaklumkan mangsa menghidap penyakit darah tinggi , kencing manis dan sakit jantung dan sedang menerima rawatan daripada HQEI,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HQE untuk dijalankan ujian Covid-19 dan bedah siasat.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|