Malaysia Prihatin, golongan sasar terus disantuni

Malaysia Prihatin, golongan sasar terus disantuni

Putatan: Golongan memerlukan terus disantuni dalam menjayakan konsep Malaysia Prihatin di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Ir. Shahelmey Yahya berkata, bertepatan dengan tema Hari Malaysia kali ini, Malaysia Prihatin, golongan sasar terus dibantu bagi mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditanggung.

Beliau yang berkesempatan melakukan lawatan dan menyampaikan bakul makanan Hari Malaysia di kawasan sekitar Putatan hari ini, turut berharap, semangat nasionalisme dapat dipupuk oleh masyarakat setempat.

“Inisiatif ini adalah menghulurkan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan juga ibu tunggal yang ada di kawasan Tanjung Keramat.

“Tujuannya adalah untuk sama-sama memberi rasa gembira dalam kita menghayati sambutan Hari Malaysia bertepatan dengan tema Malaysia Prihatin” katanya.

Jelasnya sumbangan ini merupakan insiatif bersama pejabat Pusat Khidmat Rakyat DUN N. 24 Tanjung Keramat bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N. 24 Tanjung Keramat yang turut diberikan kepada kawasan DUN N. 22 Tanjung Aru dan N. 23 Petagas.

Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah itu turut mengadakan lawatan ke Kampung Lok Kawi Baru dan bertemu dengan para penduduk yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

“Kita turut melawat Kampung Lok Kawi Baru di mana kejadian banjir lumpur telah melanda kampung tersebut pada petang Rabu lalu dan dalam masa sama mendengar keluhan penduduk kampung dalam usaha membersihkan kawasan terjejas,” katanya.

Sejurus lawatan berkenaan, Shahelmey turut berkesempatan mengadakan kunjungan ke Kg Ulu, Putatan bagi melawat seorang belia yang koma akibat kemalangan setahun yang lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|