Polis Penampang buka kertas siasatan, pegawai diaibkan

Polis Penampang buka kertas siasatan, pegawai diaibkan

Penampang: Polis membuka kertas siasatan berhubung mesej tular yang mengaibkan pegawai kanan polis IPD Penampang, ketika menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mesej tular diaplikasi WhatsApp sejak pagi tadi bertulis “Travelling from Lido (KK) to Survey Supermarket (Ppang) without valid reason summoned for inter – district travel, RM5,000. Orang gila punya kerja?”

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim (gambar di atas) berkata, pihaknya terkesan dengan mesej tular yang mengaibkan seorang pegawai kanan polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

katanya, hasil semakan mendapati mesej yang tular itu berhubung satu kes kompaun yang dikeluarkan oleh pegawainya yang bertugas di IPD Penampang terhadap seorang individu kerana didapati bersalah rentas daerah tanpa kebenaran.

“Oleh itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap individu berkenaan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan orang.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik, menularkan dan berkongsi sesuatu kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak terutama membabitkan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di media sosial.

“Orang ramai juga disarankan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP yang ditetapkan kerana kegagalan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|