Video call tatapan akhir

Video call tatapan akhir

Kota Kinabalu: “Sepanjang hidup saya tidak akan melupakan detik 22 April lalu. Hari itu, kami sekeluarga hanya mampu melihat suami saya bertarung nyawa dengan virus Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menerusi panggilan video.”

Demikian jelas Sulfina Atama, 41, yang menceritakan pengalaman paling menyedihkan kerana hanya mampu melihat arwah suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, mereka sekeluarga bernasib baik kerana panggilan video berkenaan dengan arwah suami, Hairuddin Mokti, 44, dapat dibuat hasil bantuan jururawat di hospital berkenaan.

Sulfina Atama, 41, ketika menceritakan detik pemergian suaminya akibat wabak Covid-19.

“Disebabkan prosedur operasi standard (SOP), kami juga tidak dibenarkan melawat arwah, tambahan pula kami sekeluarga turut dikuarantin selama 14 hari kerana dikategorikan sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

“Tiada apa yang mampu dibuat, kami hanya mampu berdoa kepada Allah SWT semoga arwah diberi kesembuhan dan dipermudahkan rawatannya.

“Namun, ternyata Allah SWT lebih menyayanginya dan marilah kita sama-sama mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh,” katanya ketika kepada Deasoka ketika ditemui, baru-baru ini.

Sulfina berkata, sepanjang 10 hari ditahan, arwah hanya mampu berkomunikasi dengan ahli keluarga lain dalam tempoh tiga hari terawal di hospital.

“Selebihnya, kami hanya boleh melihatnya menerusi panggilan video. Walaupun berat, tapi kami sekeluarga berserah dengan takdir dan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Sulfina berkata, arwah suaminya bekerja sebagai pegawai tadbir di sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu.

Katanya, arwah suaminya yang hanya menghidapi penyakit gout seorang insan yang ceria dan baik hati.

“Arwah seorang yang mudah didekati dan sangat suka membantu sesiapa saja yang termampu.

“Arwah juga suka menderma darah dan saya doakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hambanya yang soleh dan beriman,” katanya.

Menurutnya, dia dan anaknya Nurariyana Hairuddin, 5, akan sentiasa mengingati detik itu sampai bila-bila.

Sulfina Atama, 41, menunjukkan gambar arwah suaminya bersama anaknya Nurariyana Hairuddin, 5.

“Walaupun sangat pahit untuk menerimanya namun kami reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya kena kuat untuk besar anak kami dan alhamdulillah juga saya bersyukur kerana keluarga banyak membantu lebih-lebih lagi keluarga arwah suami,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|