Sandakan: Rumah Agnes Keith bakal dibangunkan sebagai antara pusat pelancongan yang berteraskan kegelapan atau lebih dikenali sebagai ‘Dark Tourism’.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perancangan itu sudah dibuat oleh Jabatan Muzium menerusi program E-Seram.
Katanya, ia akan memberi peluang kepada pengunjung untuk bermalam di rumah berkenaan bagi merasai sendiri kehidupan penulis tersohor Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith bersama suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George.
“Bagaimanapun program itu terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak tahun lalu.
“Sebenarnya, banyak lokasi di negeri ini yang menyimpan sejarah peperangan, kemusnahan atau tragedi yang mampu diangkat untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Jafry berkata, sukar dinafikan mungkin ramai yang tidak tahu rumah agam di atas bukit itu menyimpan cerita misteri.
Katanya, antara catatan Agnes termasuk pengalaman seram yang sering dilalui sepanjang tinggal di rumah berkenaan.
“Agnes menulis: “Saya tidak percaya pada hantu”. Tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang”.
“Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga.
“Banyak lagi catatan yang turut dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan,” katanya.
Jafry berkata, ia membuktikan disebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikan ia lebih menarik untuk dikunjungi.
– Deasoka