Kinabatangan: Seorang kanak-kanak rentung dan lima lagi ahli keluarga termasuk bapa serta ibunya cedera selepas rumah mereka di Kampung Perpaduan, di sini, terbakar tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Mohd Adlinsyah Mohd Adsni, 6, ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap di dalam bilik rumah berkenaan.
Manakala kedua ibu bapanya dan dua abang serta adiknya yang berusia tiga hingga 43 tahun turut mengalami kecederaan melecur terkena bahang api.
Difahamkan, dua lagi ahli keluarga mangsa membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan wanita warga emas, 77 tahun, terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah malam.
Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan api kebakaran.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 185 meter persegi yang musnah terbakar 100 peratus.
“Semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi, sebuah motosikal Honda EX5 turut terbakar sepenuhnya manakala sebuah kenderaan Isuzu Dmax berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan tiga pancutan dari sumber air dari jentera.
“Api kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.40 pagi manakala semua mangsa cedera dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kinabatangan.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.56 pagi,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca serta jumlah kerugian dalam insiden ini.
-Deasoka