SMK Simpangan johan keseluruhan MSSD Beluran

SMK Simpangan johan keseluruhan MSSD Beluran

Beluran: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan unggul selepas berjaya meraih 61 pingat pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Beluran, baru-baru ini.

Sekolah berkenaan berjaya mengutip 23 pingat emas, 23 pingat perak dan 15 pingat gangsa, sekali gus mengetepikan enam sekolah lain untuk muncul selaku juara keseluruhan.

Antara acara-acara yang dipertandingkan sepanjang Kejohanan MSSD Beluran kali ke-35 tahun 2022

Naib juara dimenangi SMK Beluran dengan 18 pingat emas, 18 perak dan 11 gangsa manakala tempat ketiga pula disandang SMK Terusan Sugut dengan pungutan pingat 11 emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Kejayaan bertambah manis apabila atlet SMK Simpangan, Rexson D Rody dan Fazly Jaumin masing-masing diisytiharkan sebagai olahragawan bagi kategori bawah 18 dan 15 tahun.

Sesi perasmian dan penangguhan MSSD Beluran yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk James Bin Ratip

Manakala bagi olahragawati pula disandang Sheerena Michael dari SMK Beluran untuk kategori bawah 15 tahun dan Ernataliana Juti dari SMK Pamol bagi bawah 18 tahun.

Bagi kategori Sekolah Rendah (SK) pula, Zon Pamol berjaya meraih johan keseluruhan dengan pungutan pingat sebanyak enam emas, tiga perak dan empat gangsa.

Ia diikuti dengan tempat kedua yang disandang Zon Pekan dengan pungutan lima emas dan masing-masing satu perak dan gangsa.

Tempat ketiga berjaya dimenangi Zon Paitan dengan pungutan pingat empat emas, empat perak dan tiga gangsa.

Sementara itu, Kejohanan Olahraga MSSD Beluran 2022 kali ke-35 itu berjaya diadakan di mini Kompleks Beluran, di sini, pada 12 dan 13 Ogos lalu.

Kejohanan dirasmikan Datuk James Ratip dan turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, SH Mahada SH Attar; Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid PPD Beluran, Amit Utung dan Pengerusi Majlis Guru Besar Beluran, Tsau Maidin serta Pengerusi JK Pengelola MSSD Beluran 2022, Gabriel Sundang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|